suria

Kuil Tak Berdaftar Halang Pembinaan Padang Sekolah

JOHOR BARU: Jabatan Pelajaran Negeri Johor meminta kerjasama masyarakat India tempatan dan parti politik supaya menyegerakan pemindahan sebuah kuil Hindu tidak berdaftar bagi membolehkan pembinaan sebuah sekolah menengah di sini disiapkan mengikut jadual.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, usaha kontraktor untuk menyiapkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai yang hampir 100 peratus siap terhalang akibat kegagalannya membina padang sekolah kerana terdapat kuil berkenaan di situ.

"Kesemua infrastruktur dan kemudahan sekolah itu termasuk bangunan bilik darjah dan asrama telah pun siap dibina. Bagaimanapun disebabkan kedudukan kuil itu, kontraktor tidak boleh menyiapkan pembinaan padang sekolah yang merupakan infrastruktur terakhir bagi membolehkan pembinaan sekolah itu siap sepenuhnya sebelum diserahkan kepada jabatan," katanya.

Markom berkata usaha, berunding bagi memindahkan kuil itu telah pun dimulakan pada 2004 tetapi sehingga kini belum ada jalan penyelesaian sehingga menjejaskan pembinaan sekolah itu.

Beliau berharap isu itu dapat diselesaikan dengan segera kerana apabila pembinaan SMK Nusa Damai itu siap, ia akan dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan yang dihadapi oleh beberapa sekolah berhampiran.

"Apabila SMK Nusa Damai itu siap dan beroperasi kelak, sejumlah 600 pelajar SMK Kota Masai dan antara 300 dan 600 pelajar SMK Taman Cendana akan berpindah ke sekolah baru ini," katanya.

SMK Nusa Damai mampu menempatkan 1,600 pelajar manakala asramanya pula boleh menampung 200 pelajar lelaki dan perempuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain