suria

Juruteknik Maut Digilis Treler

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik maut selepas digilis sebuah treler yang membawa muatan bahan kimia di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Desa Tasik menghala Sungai Besi di sini hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.45 pagi semasa Remmy Roslan, 23, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Sri Kembangan dengan menunggang motosikal.

Beliau berkata, dalam kejadian itu Remmy yang berasal dari Bentong, Pahang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah kereta Perodua Kenari dan tercampak ke sebelah kanan lebuhraya, dan digilis treler 27 tan berkenaan.

"Pemandu treler itu tidak sempat menghentikan kenderaannya dan Remmy yang terperosok ke bawah treler digilis oleh tayar belakang treler itu. Remmy mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat Remmy dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abdullah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi bahagian siasatan Cawangan Trafik Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee dengan menelefon 03-20719999 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain