suria

Inovasi, Kreativiti Milik Semua: Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pandangan bahawa inovasi dan kreativiti cuma menjadi milik ahli sains, teknologis atau cerdik pandai yang berkelulusan tinggi adalah tanggapan yang tidak tepat sama sekali.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kedua-duanya itu merentasi semua lapisan masyarakat dan merangkumi semua aspek kehidupan, pembangunan dan kemajuan.

"Inovasi juga bukan milik sesiapa atau mana-mana negara atau bangsa kerana ia boleh dimiliki oleh semua dan jika dijadikan budaya dan amalan hidup, ia boleh memperkasakan sesebuah negara.

"Dalam menghala ke arah model ekonomi baru yang berpaksikan pengetahuan dan inovasi, hanya negara yang mempunyai perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini dapat berada di barisan hadapan dalam perlumbaan mengejar kemajuan.

"Bukti-bukti jelas menunjukkan bahawa kunci kepada kejayaan negara maju adalah inovasi dan kreativiti," katanya ketika melancarkan Malaysia Inovatif 2010, yang bertemakan "Meraikan Kreativiti" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, malam tadi.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili.

Dalam pada itu, Najib mencadangkan agar individu, kumpulan, kementerian atau agensi kerajaan yang berjaya membawa inovasi diberikan ganjaran yang lumayan setimpal dengan hasil yang diperoleh.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mencadangkan setiap kementerian dan agensi kerajaan menubuhkan satu unit inovasi khas yang bertanggungjawab terhadap pelbagai kegiatan dan program inovasi masing-masing.

"Saya ingin melihat pembaharuan-pembaharuan yang bukan sahaja tertumpu kepada sistem pengkomputeran, malah meliputi semua sistem penyampaian, perkhidmatan awam dan semua "touch-points" pelanggan supaya lebih inovatif, cekap, pantas dan berkesan.

"Kerajaan akan terus menyokong inovasi dalam perkhidmatan awam dan menjadikannya landasan dan pemacu untuk pembangunan negara kerana sudah pasti inovasi dalam sektor awam akan menggalakkan perkembangan yang sama bagi semua pihak yang berurusan dengannya di semua peringkat," katanya.

Bagi sektor swasta yang merupakan enjin pertumbuhan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara, beliau berkata inovasi adalah satu kemestian.

"Kerajaan berhasrat untuk merangsangkan lagi pertumbuhan firma-firma swasta khususnya firma-firma yang mempunyai komponen Hak Harta Intelek yang dijanakan oleh anak tempatan," katanya.

Selaras dengan agenda untuk menjana dan melonjak ekonomi negara, Najib berkata penekanan terhadap inovasi secara menyeluruh, yang mencakupi, merentasi dan melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam semua aspek kehidupan merupakan perkara yang amat perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, proses inovasi harus di-arusperdanakan bagi memperkasakan masyarakat ke arah mencapai satu negara yang inovatif.

Katanya, Malaysia Inovatif 2010 adalah satu kaedah untuk memberi suntikan inovasi dan kreativiti ke dalam masyarakat melalui pembangunan ekosistem yang berupaya membawa perubahan ke arah itu.

"Justeru, usaha utama adalah untuk memastikan wujudnya suatu ekosistem yang memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mencetus dan mengembangkan idea-idea mereka.

"Kita perlu merobohkan halangan-halangan yang mengehadkan pencetusan idea yang inovatif lagi kreatif. Ekosistem yang mengupayakan masyarakat untuk mencetuskan idea dan berfikir secara inovatif dan kreatif merupakan tunjang utama ke arah membentuk masyarakat berbudaya inovasi," katanya.

Najib juga menyeru agar ibu bapa, guru-guru dan para pendidik dapat memainkan peranan mereka ke arah usaha membudayakan inovasi dan kreativiti.

Beliau berkata, penuntut harus diberi kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh satu persekitaran yang interaktif tetapi terkawal dengan berpaksikan budi pekerti, tata susila dan nilai-nilai murni. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain