suria

Hishammuddin Enggan Ulas Penahanan 10 Individu Bawah ISA

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein enggan mengulas lanjut mengenai laporan bahawa penahanan 10 individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Khamis lepas ada kaitan dengan pengebom warga Nigeria, atas alasan faktor keselamatan.

"Saya tidak boleh berkongsi maklumat lanjut. Ini melibatkan soal keselamatan. Kami sedang memantaunya.

"Mereka ada kaitan di peringkat antarabangsa dan akan menjejaskan keselamatan negara kita jika kami tidak mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas laporan media yang mendakwa tahanan terbabit ada kaitan dengan warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, 23, yang ditahan di Amerika Syarikat selepas lelaki itu cuba meletupkan bahan letupan di atas sebuah kapal terbang tahun lepas.

Hishammuddin juga enggan mendedahkan bila dan di mana mereka ditahan dan menyatakan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pertubuhan risikan antarabangsa dalam operasi itu.

"Saya perlu memberikan sedikit maklumat tetapi tidak sampai ke tahap menjejaskan penyiasatan," katanya.

Semalam, Hishammuddin mengumumkan 10 individu ditahan mengikut IAS atas dakwaan mempunyai kaitan dengan pengganas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain