suria

Dua Rakyat Malaysia Antara Pekerja Haram Ditahan Di Britain

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia, berumur 22 dan 45 tahun, dihantar pulang dari Britain selepas mereka ditahan kerana bekerja secara haram di sebuah restoran di St Ives, demikian menurut Suruhanjaya Tinggi British di sini hari ini.

Kedua-dua lelaki dan seorang wanita warga China berusia 18 tahun itu tinggal melebihi tempoh visa apabila pegawai Agensi Sempadan United Kingdom (UK) melakukan pemeriksaan di sebuah restoran China pada Khamis lepas.

"Kedua-dua rakyat Malaysia itu dihantar pulang Sabtu lepas manakala wanita China itu masih dalam tahanan kerana urusan menghantar pulang wanita itu sedang dilakukan," menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Restoran itu bakal berhadapan dengan sejumlah denda kerana menggaji pekerja asing tanpa izin, menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu memetik Ketua Pegawai Imigresen Chris Evans, dari Pasukan Imigresen Tempatan Bagi Cambridgeshire dan Northants (Timur) sebagai berkata:

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan bekerja tanpa permit dalam komuniti kami, dan kami sedang berusaha gigih membanteras isu ini bagi mengurangkan tarikan pendatang tanpa izin di UK. "Mana-mana individu yang menggaji rakyat asing tanpa kebenaran untuk bekerja di UK adalah melanggar undang-undang, memperlekehkan perniagaan yang mematuhi undang-undang dan berhadapan dengan denda tinggi," katanya.

Pada tahun lepas sahaja, Agensi Sempadan UK mengeluarkan denda bernilai kira-kira 380,000 pound sterling (kira-kira RM2.09 juta) kepada lebih 30 perniagaan di negara itu.

Satu sistem denda yang tegas diperkenalkan pada 2008, yang mana denda sehingga 10,000 pound sterling (kira-kira RM55,200) setiap pekerja boleh dikenakan bagi setiap pekerja asing tanpa izin yang ditemui di satu-satu tempat perniagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain