suria

Bangsa Malaysia Gagal Jika Melayu Tumbang

KUALA LUMPUR: Bangsa Malaysia tidak akan berjaya sekiranya perjuangan terhadap bangsa Melayu tidak berda di kemuncak terlebih dahulu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, perjuangan bangsa Malaysia akan gagal tidak akan berjaya kerana kaum Melayu menjadi teras kepada negara ini.

Menurutnya lagi, jika bangsa Melayu itu sendiri tidak dapat menentukan pendiriannya, kaum lain di negara ini akan turut merasai akibatnya.

"Jika mereka tidak ada pendirian yang tetap, saya fikir kaum dan parti lain juga akan menerima akibat yang buruk," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bicara perdana bertajuk 'Sejarah Sebagai Gedung Perjalanan dan Khazanah yang Bernilai' di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Dr. Mahathir memberitahu kemungkinan kata-kata Laksamana Hang Tuah, 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' mungkin sia-sia jika bangsa Melayu tidak bergantung kepada diri sendiri dalam segala tindakan yang dilakukan.

"Kita ambil Jepun sebagai contoh, mereka tidak membiarkan diri mereka hanyut dengan segala tindak-tanduk barat yang ingin memanipulasi mereka, dan akhirnya mereka menjadi kuasa besar di Asia," ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau kesal apabila masih ramai rakyat Malaysia masih belum belajar daripada sejarah dan terus melakukan kesilapan yang sama.

Menurutnya rakyat sepatutnya belajar dan mengambil apa yang berlaku sebagai peringatan dan pengajaran daripada apa yang telah berlaku dalam melakukan sebarang keputusan.

"Jika kita tidak belajar daripada sejarah, kita mungkin akan mengulangi apa yang telah berlaku dan ini akan memberi kesan buruk kepada kita," ujarnya.

Katanya lagi, walaupun sejarah negara ini tidak panjang seperti kebanyakan negara lain, beliau memberitahu, pelbagai perkara yang boleh di ambil ikhtibar daripada kejadian yang menimpa negara.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang dilihat lebih menonjol dalam memperjuangkan bangsa Melayu daripada Umno sendiri.

"Kebanyakan orang Melayu merasakan untuk mengharapakan Umno sahaja untuk membantu dan mempertahankan mereka adalah tidak memadai.

"Oleh sebab itu mereka banyak menubuhkan NGO untuk membantu mereka selain mengharapakan bantuan Umno semata-mata," katanya.

Beliau juga berkata, antara faktor yang menyebabkan NGO seperti Perkasa begitu menonjol adalah kerana mereka mendengar dan memberi respon kepada setiap pendapat dan permasalahan orang Melayu.

"Walaupun Perkasa tidak sebesar dan sekuat Umno, namun mereka banyak memainkan peranan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain