suria

Tourism Malaysia, Royal Brunei Airlines Meterai Kerjasama Pemasaran

BANDAR SERI BEGAWAN: Tourism Malaysia dan Royal Brunei Airlines (RBA) hari ini memeterai program pemasaran bersama dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong antara Malaysia dan Brunei.

Mewakili Tourism Malaysia ialah Ketua Pengarahnya, Datuk Mirza Mohammad Taiyab manakala Naib Presiden Kanan RBA (jualan komersil dan pemasaran), Wong Peng Hoon memeterai sebagai mewakili syarikat penerbangan tersebut.

Permeteraian itu yang diadakan bersempena dengan Forum Pelancongan Asean (ATF) 2010, disaksikan oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

"Permeteraian janji niaga promosi bersama itu menyediakan platform untuk membangunkan dan melaksanakan program pemasaran, jualan dan promosi bersama, di mana pelbagai bahagian berkaitan akan terus dibincangkan," kata Tourism Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semasa majlis itu.

"Ia termasuk pembangunan skim insentif yang berpusat kepada aktiviti promosi bagi menggalakkan kedatangan pelancong ke Malaysia dan Brunei. Kos menjalankan aktiviti ini akan dikongsi oleh kedua-dua pihak," kata kenyataan itu.

Pasaran sasaran utama aktiviti promosi bersama ialah warga Brunei dan ekspatriat yang tinggal di Brunei, manakala penumpang antarabangsa syarikat penerbangan itu yang berkunjung ke Borneo merupakan pasaran sasaran kedua.

Mirza berkata, RBA menyediakan banyak hubungan udara ke banyak pasaran termasuk penerbangan ke beberapa destinasi yang Malaysia tidak mempunyak akses dan boleh memanfaatkannya.

RBA bekerjasama rapat dengan lembaga pelancongan Sabah dan Sarawak untuk mempromosikan bersama destinasi pelancongan dan produk, dan syarikat penerbangan itu mempunyai perjanjian perkongsian kod dengan Malaysia Airlines bagi penerbangan antara Bandar Seri Begawan dan Kuala Lumpur serta ke Kota Kinabalu dan Kuching.

Brunei merupakan negara keempat tertinggi dari segi kedatangan pelancong ke Malaysia di kalangan negara anggota Asean, dengan 1.06 juta rakyat Brunei berkunjung ke Malaysia tahun lepas.

Dr Ng berkata, antara bahagian kerjasama baharu yang melibatkan dasar yang boleh dikaji ialah melatih pemandu pelancong dari kedua-dua pihak agar mereka mempunyai pengetahuan mengenai negara antara satu sama lain, membolehkan pelancong bergerak antara kedua-dua negara tanpa perlu menukar pemandu pelancong. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain