suria

Tiga Terbunuh, Tiga Cedera Parah Dalam Dua Kemalangan Berasingan

SITIAWAN: Tiga terbunuh manakala tiga lagi cedera parah dalam dua kejadian kemalangan berasingan di sini pada awal pagi ini dan juga malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, dalam kemalangan di Jalan Pantai Remis-Sitiawan berhampiran Jambatan Tunku Bainun kira-kira 5.32 pagi ini, pemandu lori dan kelindannya terbunuh apabila lori mereka merempuh belakang sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.

Pemandu lori itu dikenali sebagai R.Prakas Rao, 33, dan kelindannya M.Rabu, 24.

"Kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka telah dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

"Semasa kejadian lori yang dipandu Prakas yang membawa muatan kelapa, sedang dalam perjalanan dari Pantai Remis ke Sitiawan. Lori itu dikatakan gagal di kawal lalu merempuh belakang sebuah treler yang membawa muatan bahan-bahan binaan yang diletakan di tepi jalan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Jamil berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke hospital.

Dalam kejadian di Kilometer 17 Jalan Sitiawan-Ipoh pada 8 malam tadi pula, seorang terbunuh manakala tiga lagi mengalami cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

Mangsa yang terbunuh ialah penumpang kereta berkenaan Shah Fahrin Ramli, 30, berasal dari Lambor Kiri, Parit.

"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat, kata Mohd Jamil.

Beliau berkata, yang cedera pula ialah pemandu kereta itu Shaiful Amirul Ngah Mohd Yusof, 20, adiknya Shahir Shafie, 19, dan seorang lagi penumpang Mohd Hanafi Wahid, 17.

Mereka dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

"Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika kereta jenis Proton-Satria yang dipandu Shaiful Amirul yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Sitiawan dikatakan gagal dikawal lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

"Akibat kejadian itu bahagian hadapan kereta berkenaan remuk dan pasukan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa sebelum di hantar ke hospital," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain