suria

SPR Kesan Lebih 400,000 Belum Daftar Sebagai Pemilih

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan 437,369 orang di negeri Sarawak yang sudah layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Sebagai langkah pro-aktif, SPR Sarawak akan menganjurkan aktiviti pendaftaran pengundi baru melalui program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) di tiga buah bandar di negeri itu bermula Sabtu ini.

Timbalah Pengarahnya, Wan Fadilah Wan Ahmad berkata, program HBP akan bermula di Miri pada Sabtu dan Ahad ini iaitu di Boulevard Mall dan Pasar Tamu Miri dari pukul 11 pagi hingga 8 malam.

Warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas boleh berdaftar sebagai pemilih pada sesi HBP, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak di sini hari ini.

Selepas Miri katanya, sesi HBP juga akan diadakan di bandar Sibu dan akhirnya di Kuching pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Wan Fadilah berkata, selain pendaftaran pengundi baru, pengundi yang ingin membuat pertukaran alamat pemilih serta menukar tempat mengundi juga boleh berbuat demikian semasa sesi HBP.

Katanya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan melancarkan program 'Pendaftaran Perdana Peringkat Negeri Sarawak' di Tebingan Sungai Kuching di sini pada 9 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain