suria

Siswazah Tidak Harus Gunakan Sudut Pidato Untuk Agenda Tersendiri

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah berkata pemimpin mahasiswa yang aktif dalam bidang ko-kurikulum sepatutnya tampil berucap dalam sudut pidato.

“Walaupun secara peribadi saya tidak menggalakkan pihak universiti untuk mengenakan sebarang syarat atau peraturan untuk berucap, hanya pelajar-pelajar yang sensitif mengenai isu-isu masyarakat tempatan patut diberi peluang.

“Ini penting agar mereka memahami hujah-hujah yang diutarakan itu tidak menyakiti hati atau menimbulkan salah faham,” jelas beliau semasa dihubungi mStar hari ini.

Tambahnya, siswazah yang menyalahgunakan platform tersebut tidak boleh lari daripada undang-undang sedia ada.

“Walaupun sudut pidato tersebut dapat menggalakkan pemikiran yang kritis dan kreatif, ia juga tidak sepatutnya menjadi medan yang mengundang masalah-masalah tidak ingini,” kata Saifuddin.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM) Prof Dr Datuk Azarae Idris mahu para siswazah menggunakan peluang itu sebaik-baiknya untuk berkongsi pendapat yang membawa kebaikan kepada semua.

“Penuntut-penuntut universiti dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan sudut pidato untuk tujuan yang salah.

“Mereka boleh berhujah mengenai apa sahaja asalkan ia mematuhi undang-undang yang termaktub dalam perlembangan dan apa yang diucapkan mestilah tidak menyalahi Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, semua pelajar UM dialu-alukan untuk berkongsi pendapat secara terbuka tetapi apa yang dihujah mestilah tidak mewujudkan ketegangan antara penduduk, tidak mendakwah mengenai agama serta tidak menggunakan platform itu untuk mengiklankan barang atau servis mereka.

Apabila ditanya sama ada terdapat apa-apa garis panduan bertulis yang perlu dipatuhi oleh penuntut varsiti tersebut, beliau berkata jabatannya masih belum memuktamadkan apa-apa lagi.

Beliau menambah garis panduan itu perlu agar pelajar-pelajar antarabangsa yang menuntut di universiti tersebut arif mengenai sensitiviti dan norma masyarakat setempat.

Azarae juga berpendapat ruang tersebut dapat meningkatkan kemahiran komunikasi di kalangan pelajar UM.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak berpendapat pelajar-pelajar universiti mesti berani menanggung akibat daripada apa yang dihujah di sudut pidato seandainya timbul masalah kelak.

“Walaupun ini adalah satu inisiatif yang mampu menggalakkan para siswazah untuk berkongsi pendapat, mereka tidak harus menggunakan platform tersebut untuk agenda tersendiri,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, selain dapat mengasah bakat pelajar-pelajar yang mengambil kursus pengucapan awam, ia juga berupaya mencipta bakal-bakal pemimpin negara suatu hari nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain