suria

Sidang Seameo Setuju Bangunkan Pusat Serantau Pendidikan Khas

CEBU: Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo) ke-45 hari ini bersetuju untuk membangunkan satu lagi pusat serantau Seameo mengenai pendidikan khas di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan pusat serantau itu amat penting bagi negara anggota Seameo dalam menyediakan pelbagai bentuk pendidikan khusus untuk kumpulan yang istimewa.

"Projek ini akan kita mulakan tidak lama lagi, segala perbelanjaan akan dibiayai oleh Malaysia, itu telahpun diputuskan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang pleno persidangan itu di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, buat sementara waktu, pusat itu akan diwujudkan di Melaka, manakala pusat yang tetap akan dibangunkan di Nilai, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, terdapat satu pusat serantau Seameo iaitu mengenai pendidikan Sains dan Matematik (Seameo Recsam) di Pulau Pinang.

Mengulas mengenai pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Singapura dan Filipina, Muhyiddin berkata mereka semua sependapat untuk bekerjasama dalam meningkatkan penguasaan dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

"Walaupun negara seperti Vietnam tidak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa kedua, tetapi ia menjadi bahasa penting, jadi kami sepakat untuk bekerja bersama-sama kerana kita dimaklumkan di negara ini juga mereka berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga pengajar yang cukup terlatih," katanya.

Beliau berkata, Vietnam juga mahu Malaysia membantu daripada aspek pendidikan khususnya di peringkat pendidikan tinggi, manakala Singapura pula berminat untuk tingkatkan kerjasama dalam bidang aktiviti ko-kurikulum di sekolah.

Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berlepas pulang ke ibu negara malam ini.

Esok, satu forum dasar yang bertemakan "Memahami Laluan Kecil Yang Penting Untuk Pembelajaran Masa Depan" juga akan diadakan di mana menteri pelajaran negara anggota berpeluang bertukar pendapat dan pengalaman masing-masing.

Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean (ASED) kelima juga akan berlangsung esok bagi meneliti beberapa program, antaranya mengenai laporan kerjasama Rangkaian Universiti Asean dan pembangunan bahan sumber berkenaan Asean untuk rujukan sekolah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain