suria

Polis Lumpuhkan Sindiket Edar Dadah Ke Singapura

JOHOR BAHARU: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah ke Singapura selepas menahan 12 individu termasuk tiga rakyat republik berkenaan dalam empat serbuan di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tiga rakyat Singapura bersama tujuh lelaki dan dua wanita tempatan itu ditahan dalam operasi bermula pukul 5 pagi hingga 6 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dan Bukit Aman serta Biro Narkotik Singapura.

"Polis merampas 339.4 gram dadah disyaki syabu, 36 biji pil Eramin 5 dan 64 gram ketamin yang kesemua dianggarkan bernilai RM100,000 mengikut pasaran semasa dalam serbuan itu," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, polis turut menyita lapan buah kereta pelbagai jenis, wang tunai RM8,751, wang tunai Indonesia (Rp78,700), wang tunai Singapura (S$645), sejumlah kecil wang tunai pelbagai negara termasuk Thailand, Hong Kong, England, Kuwait, New Zealand, Amerika Syarikat, Brunei, Australia, India, Filipina, China dan Turki.

Beliau berkata, turut disita adalah dua komputer riba, lima telefon bimbit, seutas jam tangan jenama Cyma dan seutas rantai leher.

Kesemua kereta, wang tunai dan barangan, yang disita untuk tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Hak Harta) 1988, dianggarkan bernilai RM530,000.

"Kejayaan serbuan ini adalah hasil risikan dan pemantauan rapi selama hampir dua bulan terhadap aktiviti anggota sindiket terbabit.

"Maklumat mendedahkan, modus operandi sindiket ini dalam mengedarkan dadah ke Singapura adalah dengan menggunakan pembawa dadah," katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semakan rekod mendapati dua daripada tiga lelaki Singapura itu disenaraikan sebagai dikehendaki oleh pihak berkuasa republik itu manakala seorang lelaki tempatan berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan memiliki senjata dalam rusuhan.

"Tiga lelaki tempatan dan dua wanita tempatan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga lelaki Singapura mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 manakala empat lelaki tempatan mengikut Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain