suria

Polis Beri Amaran Jangan Ganggu Sambutan Thaipusam

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berniat mengganggu kelancaran serta menimbulkan suasana tegang semasa sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam kegiatan gangsterisme di kawasan itu dan sengaja menggugat ketenteraman serta keharmonian awam.

"Faktor keselamatan akan dipertingkatkan, kita akan memantau keseluruhan kawasan Batu Caves dan pergerakan orang ramai dalam memastikan sambutan tersebut berjalan lancar dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kelancaran dan keamanan sambutan Thaipusam akan diambil tindakan termasuk kepada gangster dan samseng... tiada siapa akan terlepas," katanya kepada pemberita di Batu Caves hari ini.

Abdul Rahim berkata, polis juga akan mengambil tindakan terhadap pihak yang mengambil kesempatan mengenakan bayaran letak kereta secara haram di kawasan tersebut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi arahan polis dan tidak meletak kereta di kawasan yang boleh menghalang lalulintas serta mengakibatkan kesesakan melampau.

"Kesesakan di kawasan Batu Caves sepanjang perayaan ini tidak dapat dielak, justeru, kita minta orang ramai patuhi undang-undang. Jika ada yang menghalang lalulintas dan melanggar peraturan, kita tidak teragak-agak untuk menarik kenderaan tersebut.

"Parkir di sekeliling kawasan ini juga adalah percuma, jika ada yang minta bayaran, laporkan kepada kami," katanya.

Beliau berkata, seramai 1,000 anggota dan pegawai polis ditempatkan di sekitar Batu Caves yang terdiri dari cawangan trafik, cawangan khas, narkotik, jenayah dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta polis pelancong.

Katanya, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang terdiri daripada penganut agama Hindu dari dalam dan luar negara termasuk pelancong, dijangka berada di sekitar kawasan Batu Caves semasa sambutan Thaipusam nanti.

Menurutnya lagi, beberapa jalan akan ditutup termasuk persimpangan lampu isyarat Masjid Amaniah menghala ke Jalan Batu Caves Lama dan Sungai Tua menuju ke Jalan Batu Caves Lama, Jalan Perusahaan dan beberapa jalan berhampiran, yang akan dilakukan secara berperingkat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain