suria

PM Umum Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan Esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan esok kerangka penting dalam usaha mentransformasikan kerajaan bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan dasar pentadbiran beliau iaitu "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (PTK) merupakan langkah penting dalam perjalanan negara untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.

Najib memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan PTK pada April tahun lepas, bulan yang sama beliau mengambil alih tampuk pimpinan negara, dan turut mengumumkan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam usaha menangani perkara yang menjadi kebimbangan utama rakyat.

Enam bidang NKRA itu ialah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatan pengangkutan awam bandar.

Pelan hala tuju PTK dijangka menggariskan objektif dan mekanisme untuk mencapai sasaran ditetapkan selepas mendapatkan maklum balas daripada orang ramai bulan lepas.

Program Hari Terbuka PTK telah diadakan di Petaling Jaya, Kuching dan Kota Kinabalu bagi membolehkan orang ramai memeriksa dan memberikan pandangan terhadap lebih 2,000 projek dan 100 program.

Sesi awam itu mencerminkan ketelusan di pihak kerajaan dalam membabitkan orang ramai dalam menggariskan hala tuju itu.

Dalam sesi wawancara di televisyen pada minggu ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberikan penekanan kepada kesegeraan dalam penyampaian jangkaan rakyat dan jika negara melambat-lambatkannya, ini akan menghakis keyakinan rakyat.

"Bagi 2010, saya akan menekankan pada keputusan cepat, pelaksaaan segera tanpa mengorbankan kualiti. Ini bermakna kita akan menekankan mengenai membuat keputusan dengan cepat dan tepat kerana ini akan digunakan sebagai kayu pengukur untuk mengukur daya kompetitif negara di barisan depan," katanya.

Perdana Menteri yang mahu mentransformasi Malaysia daripada sebuah ekonomi berpendapatan pertengahan tinggi kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, menerajui sendiri PTK.

Dua menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Pengurusan Prestasi dan Datuk Seri Idris Jala, bertanggungjawab bagi keseluruhan pelaksanaan dasar dan strategi berkenaan.

Idris juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang memantau pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di kementerian-kementerian, sebahagian daripada NKRA.

Selasa lepas, Koh berkata, kerajaan sedang mengkaji secara serius untuk mengguna pakai sistem ganjaran dan hukuman bagi perkhidmatan awam di bawah PTK, ketika program itu memasuki tahun pertama pelaksanaannya.

"Bagaimanapun, pada dua tahun pertama pelaksanaannya, penekanan kami ialah mengenai bagaimana untuk menggalakkan dan membantu semua orang untuk melakukan tugas dengan baik daripada untuk memulakan hukuman...ini jauh lebih penting pada peringkat ini," katanya.

Untuk meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik, kerajaan sedang menimbangkan sistem "ganjaran dan hukuman" bagi kira-kira 1.2 juta kakitangan awam.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kakitangan awam dinilai dan diberi ganjaran berdasarkan prestasi mereka secara individu.

Enam kementerian bagi NKRA ialah Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pengangkutan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain