suria

PM Ulangi Arahan Kemaskini Tempoh Selesai Permohonan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi arahannya agar setiap jabatan dan agensi kerajaan mengemaskinikan tempoh mengambil tindakan menyelesaikan permintaan atau kelulusan sesuatu permohonan rakyat dengan sesingkat mungkin. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Najib telah mengulangi arahan tersebut ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

"Perkara itu disebut kembali menunjukkan bahawa Perdana Menteri meminta sangat supaya pentadbiran beliau bertindak tegas dan cepat dalam mengendalikan keperluan awam," katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurutnya, Najib mahu supaya semua jabatan kerajaan yang berurusan dengan masyarakat agar memproses permohonan dalam tempoh yang singkat dan ini akan memberi sentuhan yang baik kepada rakyat tempatan dan warga asing.

"Beliau (Najib) telah memberi contoh, misalnya dahulu pasport antarabangsa diluluskan dalam tempoh sebulan, sekarang sudah dalam tempoh beberapa jam sahaja," katanya.

Minggu lepas, Najib mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan yang berurusan secara langsung dengan orang ramai untuk menjawab secepat mungkin segala surat-menyurat yang dikemukakan kepada mereka.

Katanya, semua urusan tersebut perlu dijawab oleh jabatan atau agensi berkaitan dalam masa yang lebih singkat selain mengurangkan kerenah birokrasi.

Arahan itu adalah selaras dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang menjadi teras 1Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain