suria

Pendakwaan Pegawai Kanan Kelantan Ditangguh

KOTA BHARU: Pendakwaan terhadap seorang bekas Pegawai kanan Kelantan bergelar Datuk yang disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu lebih RM300,000 membabitkan projek Istana dan Kerajaan Negeri, hari ini ditangguhkan kerana beliau menghadapi masalah jantung.

Bekas pegawai yang berumur 57 tahun itu dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana, di sini pada pukul 1 pagi tadi selepas mengadu sakit jantung dan beliau kini berada di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Izani Wan Ishak berkata, walaupun pihaknya sudah mendaftarkan kes itu di pejabat pendaftar mahkamah Sesyen di sini hari ini namun kes itu ditangguhkan kepada satu masa yang akan ditentukan kelak.

"Kami masih menunggu laporan daripada doktor yang merawat pegawai itu mengenai keadaannya untuk menentukan sama ada beliau boleh hadir di Mahkamah Sesyen 5 di sini. Kami akan tentukan bila tarikh pendakwaannya nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, peguam kepada bekas pegawai kanan itu, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pegawai pendakwa SPRM untuk menangguhkan kes itu sehingga anak guamnya pulih.

"Sekarang dia dalam keadaan separuh sedar," katanya sambil menegaskan bekas pegawai itu sebelum ini dimasukkan ke hospital yang sama akibat masalah serupa sejak minggu lalu dan dibenarkan keluar pada tiga hari lepas.

Abdul Aziz berkata, bekas pegawai kanan kerajaan Kelantan itu ditahan SPRM di rumahnya di Bunut Payung, dekat sini semalam, dan beliau dilepaskan hari ini dengan jaminan mulut RM100,000 bahawa beliau akan hadir di mahkamah hari ini.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan bahawa pegawai kanan itu ditahan sebagai susulan kepada pendakwaan SPRM terhadap seorang kontraktor, Yusri Che Noh, 39, di Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Januari lalu berhubung lima tuduhan melakukan pemalsuan invois dan pesanan membabitkan projek Istana dan Kerajaan Negeri.

Antara lain, Yusri didakwa mengemukakan invois Yus Construction & Trading kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Shkori Mohamed, pada 3 Mac 2009, yang mengandungi butiran palsu mengenai bekalan dan kerja-kerja tar tempat letak kereta Istana Negeri seluas 2,436 meter persegi pada harga RM27 semeter persegi membabitkan tuntutan RM65,772.

Yusri yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM100,000 dan kes itu akan disebut semula pada bulan Mac dan April ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain