suria

Pembinaan Semua Asrama Dijangka Siap Enam Bulan Lagi

KUALA KUBU BHARU: Pembinaan semula asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu yang sepatutnya siap pada November 2008 dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan akan datang, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, pembinaan semula asrama itu yang awalnya bernilai RM3.092 juta dijangka dapat dimulakan semula pada akhir bulan ini di mana kontraktor yang baru sudah dikenal pasti bagi menyambung kerja kontraktor lama.

Kontraktor asal projek itu telah pun ditamatkan kontraknya setelah diberi dua kali tempoh lanjutan untuk menyiapkan projek iaitu pada 16 Februari 2009 dan kali kedua pada 29 Jun 2009, katanya.

"Sekolah ini merupakan salah satu Sekolah Cemerlang Perdana dan permohonan untuk masuk ke asramanya adalah tinggi. Oleh itu pembinaan asramanya perlu diselesaikan segera," katanya kepada pemberita semasa melawat projek pembinaan asrama tersebut hari ini.

Mohd Puad berharap masalah bangunan terbengkalai di semua sekolah di negara ini dapat diatasi segera, sekurang-kurangnya dalam tahun ini. Menurut beliau, hampir satu peratus projek pembinaan bangunan sekolah di seluruh negara mengalami masalah yang sama seperti yang dialami SMK Kuala Kubu Bharu.

"Kontraktornya memberi pelbagai alasan apabila mereka tidak dapat menyiapkan projek mengikut jadual, dan alasan yang popular sekali ialah disebabkan oleh harga barang binaan telah naik," katanya.

Mohd Puad menegaskan kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembinaan sekolah mengikut masa yang ditetapkan akan disenarai hitam di mana sudah terdapat beberapa kontraktor yang telah dikenakan tindakan demikian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain