suria

Pelajar Terbabit Dadah Di Kelantan Membimbangkan

KOTA BHARU: Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd. Bakir Zin berkata, 44 orang pelajar daripada lebih 2,400 pelajar sekolah di Kelantan yang menjalani ujian air kencing disahkan positif dadah.

"Secara umumnya jumlah itu dilihat satu angka yang kecil tetapi ianya membimbangkan kita kerana ia seperti satu isyarat menunjukkan bahaya dadah semakin menular di peringkat sekolah.

"Ia tidak boleh dipandang ringan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Amalan Persekitaran Berkualiti AADK Kelantan di sini hari ini.

Menurutnya, AADK akan membuat pemantauan berterusan di peringkat sekolah bagi memastikan lebih banyak program kesedaran mengenai bahaya dadah diadakan untuk membendung kegiatan terbabit.

Abd Bakir berkata, kejayaan pemulihan bukan diukur semasa penagih berada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang diwujudkan oleh agensi itu tetapi diukur setelah dua tahun penagih terbabit keluar dari pusat itu.

"Selepas dua tahun kita menjalankan ujian sekali lagi dan mendapati mereka ini tidak lagi positif dadah, barulah ianya dianggap kejayaan pemulihan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain