suria

Jangan Biar Agenda 'Pendidikan Untuk Semua' Gagal: Muhyiddin

CEBU: Krisis ekonomi global dan bencana alam di rantau ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada negara-negara Asia Tenggara untuk mencapai sasaran "Pendidikan Untuk Semua" (EFA-Education For All) menjelang 2015, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, laporan pemantauan global mengenai EFA baru-baru ini menunjukkan bahawa beberapa negara anggota Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo) mungkin tidak dapat mencapai sasaran itu menjelang 2015 disebabkan antaranya oleh kemerosotan ekonomi dan kejadian bencana alam.

Berucap pada sidang pleno pada Persidangan Majlis Seameo ke-45 di sini hari ini, beliau berkata setiap daripada negara anggota pertubuhan itu perlu menjadikan pendidikan bermutu sebagai satu keutamaan.

"Agenda mencapai EFA tidak boleh gagal walaupun dalam kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata sebarang pengurangan dalam peruntukan khususnya kepada pendidikan asas boleh mencacatkan kemajuan yang telah dicapai dalam penyediaan pendidikan awal di seluruh dunia.

"Sebenarnya, kita perlu terus melabur dalam bidang pendidikan bagi mencapai sasaran EFA dan juga Matlamat Pembangunan Milenium (MDG)", katanya.

Kerajaan Malaysia telah menyediakan peruntukan RM25.5 bilion tahun ini kepada Kementerian Pelajaran, dan ini merupakan 13.32 peratus daripada keseluruhan bajet bagi 2010. Sebanyak RM100 juta lagi diperuntukkan bagi program "Permata" yang memberi tumpuan kepada kaedah dan teknik pendidikan awal secara bersepadu dan terancang.

Muhyiddin berkata, Malaysia memberi tumpuan penuh kepada bidang keutamaan seperti celik huruf, pendidikan awal, guru berkualiti dan pembangunan kemahiran sejajar dengan usaha untuk meluaskan lagi pendidikan bermutu dan yang termampu.

Katanya, soal menyediakan pendidikan awal berkualiti tidak boleh menjadi tanggungjawab satu agensi saja.

"Usaha meluaskan dan meningkatkan mutu pendidikan awal memerlukan tindakan bersama ke arah memantapkan lagi aspek pembangunan kanak-kanak fizikal, emosi, sosial dan intelektual," katanya.

Beliau berkata, Malaysia bernasib baik kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menunjukkan minat mendalam serta menyediakan pelbagai inisiatif bagi menjamin kanak-kanak khususnya dari kawasan yang terkebelakang diberi peluang mendapatkan pendidikan awal berkualiti.

Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan perbincangan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Vietnam, Prof Dr Nguyen Thien Nhan, dan Setiausaha Pendidikan Filipina, Dr Datu Jesli A Lapus.

Persidangan empat hari itu, yang dirasmikan oleh Setiausaha Eksekutif Filipina, Eduardo R. Ermita mewakili Presiden Gloria Macapagal Arroyo, dijangka membincangkan laporan berhubung Rangkaian Universiti Asean dan bahan-bahan sumber sekolah Asean.

Seameo dianggota Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain