suria

Cemar Rumah Ibadat: KDN Tidak Akan Berkompromi

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan rumah ibadat, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah diarah turun padang untuk memantau siasatan kes empat kepala babi hutan yang berbungkus plastik ditinggalkan di pintu masuk perkarangan dua masjid di Petaling Jaya hari ini.

"Dalam hal ini, saya tak pernah berkompromi dan kita telah buktikan dalam kes-kes di gereja dan surau sebelum ini kita telah ambil tindakan di mana semua yang terlibat telah ditahan, dan akan dihadap ke mahkamah bergantung kepada kesesuaian masa oleh pihak Peguam Negara," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kementerian dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia di sini hari ini, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan serangan itu bertujuan menghuru-harakan negara dan menimbulkan konflik antara kaum di negara ini.

"Saya berharap orang ramai tidak terpedaya dengan helah itu," katanya sambil memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kejadian itu.

Ditanya sama ada polis telah mempunyai petunjuk mengenai kes itu, beliau berkata polis masih menyiasat, termasuk tujuan tindakan itu.

Mengenai penulis blog Aduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar, Hishammuddin berkata, tidak timbul soal untuk membebaskan penulis blog itu walaupun dia telah meminta maaf.

"Bila dia ditahan, kes itu akan diserah kepada Peguam Negara untuk tindakan. Jika tidak sesiapa sahaja boleh cakap apa yang mereka suka dan selepas itu minta maaf dan terlepas daripada tindakan," katanya.

Hishammuddin berkata, polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cyber Security Malaysia turut menyiasat beberapa kes lain yang melibatkan jenayah.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kementerian akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan larangan KDN ke atas buku "Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism", Hishammuddin berkata keputusan mengenainya belum dibuat.

Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan larangan itu dalam semakan kehakiman yang dipohon oleh pertubuhan bukan kerajaan, Sisters in Islam (SIS). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain