suria

Cadangan Lanjut Tempoh Khidmat Doktor Dalam Kerajaan

PUTRAJAYA: Tempoh perkhidmatan wajib doktor dalam kerajaan dicadang dilanjutkan sehingga lima atau 10 tahun, berbanding tiga tahun pada masa ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan doktor di hospital-hospital kerajaan yang berlaku pada saban tahun.

Pada tahun lalu katanya, negara menghadapi masalah kekurangan doktor sebanyak 5,000 orang.

"Tiap-tiap tahun kita ada masalah kekurangan doktor kerana mereka ini hanya berkhidmat dengan kerajaan selama lima tahun, iaitu dua tahun untuk 'housemanship' (latihan) dan tiga tahun untuk perkhidmatan wajib, dan selepas itu mereka tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan.

"Sistem ini digunapakai sejak 1971, jadi kita perlu ada mekanisme baru untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di sini hari ini.

Murugiah berkata, jika cadangan itu direalisasikan, doktor-doktor akan dapat menimba lebih pengalaman sebelum berkhidmat dengan syarikat swasta atau membuka praktis mereka sendiri selepas itu.

"Para doktor tidak patut hanya memikirkan tentang keuntungan, mereka juga haru berfikir mengenai kepentingan negara, sumbangan mereka kepada negara," katanya.

Menurut beliau, cadangan sama boleh digunapakai untuk bidang-bidang lain yang turut mengalami kekurangan penjawat termasuk doktor gigi dan ahli farmasi.

Bagaimanapun, beliau berkata terserah kepada Kementerian Kesihatan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membincangkan cadangan itu dan memutuskannya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, bagi tahun lepas, kerajaan melantik sebanyak 50,756 penjawat awam termasuk calon latihan separa perubatan melebihi sasaran yang diletakkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 50,000 lantikan.

Sebanyak 7,785,262 jumlah permohonan diterima, dengan 358,366 pemohon dipanggil temuduga tetapi hanya 199,660 hadir untuk ditemuduga, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain