suria

ATM Tumpas Cubaan Seludup Lembu Bernilai RM28,000

JELI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menumpaskan cubaan menyeludup lembu jenis Brahman oleh sekumpulan penyeludup menerusi Sungai Golok, dekat sini, hari ini.

Ketua Kompeni Batalion Ketiga Rejimen Sempadan, Mejar Misnan Bakri berkata, batalion berpangkalan di Pengkalan Hulu, Perak yang memulakan operasi sejak awal tahun ini itu, berjaya merampas 14 ekor lembu yang bernilai RM28,000.

"Penyeludupan lembu itu dilakukan pada jam lebih kurang 6.15 pagi tadi ketika anggota bertugas sedang melakukan rondaan dan pemerhatian di kawasan sempadan berdekatan.

"Pihak kita berjaya mengesan beberapa ekor lembu sedang diseludup masuk melalui Sungai Golok oleh tiga orang lelaki," katanya kepada pemberita di Pos RS di Bukit Perawas, Ayer Lanas di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada tangkapan dilakukan berikutan tiga penyeludup itu yang dipercayai warga Thailand dapat melarikan diri ke seberang sungai sejurus menyedari kehadiran anggotanya.

Misnan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan permintaan tinggi di pasaran menyebabkan lembu jenis berkenaan cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui sempadan.

Beliau berkata, seekor lembu yang diseludup dari negara jiran itu dijual dengan harga RM2,000 di pasaran tempatan.

Menurutnya, kesemua lembu yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain