suria

Tidak Perlu Lobi Untuk Jadi Wakil Rakyat - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setiap wakil rakyat akan dinilai secara objektif berdasarkan komitmen mereka serta sokongan pengundi terhadap mereka.

Katanya wakil rakyat yang sedia ada tidak perlu melobi untuk menjadi calon semula kerana mereka tetap akan menang dalam pilihan raya jika mereka memberi khidmat terbaik kepada pengundi di kawasan masing-masing.

"Tetapi kalau mereka tak turun padang dan mengabaikan tugas, rakyat akan memberi isyarat dan kita tidak akan memilih mereka semula," katanya ketika diwawancara oleh Pengarah Eksekutif Editorial Media Prima Berhad Datuk Ahmad A. Talib dalam rancangan 'Soal Jawab Bersama Menteri' terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung dari Seri Pentas di sini malam semalam.

Najib berkata apa yang menjadi cabaran kepadanya apabila wakil rakyat yang memegang jawatan dalam parti tidak disukai oleh rakyat.

"Ini menimbulkan dilema kepada kita. Jika ada wakil rakyat yang tidak disukai, rakyat akan beri isyarat. Jadi jawatan dalam parti tidak menjamin kemenangan seseorang itu ketika pilihan raya, hanya mereka yang disukai, disenangi dan mesra dengan rakyat akan dipilih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Talib mengenai dakwaan terdapat segelintir wakil rakyat yang jarang turun ke kawasan masing-masing yang mungkin menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam jangka panjang.

Najib, yang juga Pengerusi BN, juga berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk membuat penilaian kerana mendapat maklumat daripada pelbagai pihak dan kaedah termasuk melalui 'Facebook dan 'Twitter.'

"Ini bukan soal saya suka atau tidak. ini bukan soal subjektiviti. Ini soal objektiviti. Maknanya, mereka mesti dapat sokongan daripada rakyat.

Menyentuh mengenai pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Najib berkata: "Memang kita cuba mencari jalan atau national consensus dalam apa saja isu termasuk isu kalimah Allah.

"Kita masih menjalankan usaha dan ada tanda-tanda bahawa mereka menghargai keihklasan kerajaan dalam hal ini. Mereka sedar kita tak bermain politik," katanya.

Beliau berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan BN akan mencari penyelesaian yang sebaik-baiknya dan "Insya-Allah, kita akan teruskan usaha ini."

Menyentuh mengenai tindakannya yang aktif dalam menggunakan kaedah 'Facebook', blog dan 'Ttwitter' untuk mendekati rakyat negara ini, terutama golongan yang tidak membaca akhbar atau menonton berita di televisyen, Najib berkata keadaan telah berubah dan jika guna kaedah lama ianya tidak sesuai lagi.

"Kita berkomunikasi dalam wahana yang digunakan oleh golongan muda dan Facebook saya kini mempunyai seramai 77,000 peminat dan kawan dalam tempoh lebih dua bulan sejak dilancarkan," katanya.

Malah maklum balas dan pandangan yang diperolehinya dari blog '1Malaysia' serta 'Facebook' telah digunakan sebagai punca penilian pelaksanaan program kerajaan serta mendapat idea baru untuk membangunkan negara. katanya.

Beliau bercadang untuk menjemput kira-kira 300 peminat dan kawan 'Facebook' untuk jamuan teh bersamanya di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain