suria

Sistem CRT Bakal Diperluas Di Mahkamah Pulau Pinang, Johor Mac Depan

KUALA LUMPUR: Pengendalian kes-kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan Johor akan menjadi lebih efisyen apabila sistem transkripsi rakaman mahkamah (CRT) bakal diperluaskan di kedua-dua negeri itu Mac depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, langkah itu diambil sebagai usaha membantu mempercepatkan perbicaraan dan pelupusan kes-kes di mahkamah di samping menjamin ketelusan dalam setiap prosiding yang dijalankan.

"Jurutaip mahkamah tidak lagi perlu menaip nota prosiding kerana sistem CRT membolehkan ia ditranskrip secara automatik, ini dapat menjimatkan masa mahkamah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan hampir dua jam di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, petang tadi.

Liew berkata, sistem CRT yang diperkenalkan di bawah e-kehakiman, kini telah digunakan di 51 buah mahkamah di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Petaling Jaya, sementara pelaksanaannya di negeri-negeri lain akan dilakukan secara berperingkat.

"Antara kes yang menggunakan sistem CRT ialah prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock di mahkamah Majistret Shah Alam, prosiding itu dirakam dan dipaparkan di laman web Jabatan Peguam Negara untuk tontonan umum," katanya.

Liew berkata, kerajaan memperuntukkan RM70 juta untuk membangunkan sistem e-kehakiman bagi memperbaiki dan meningkatkan mutu pentadbiran dan pengurusan kes di mahkamah.

Beliau berkata, selain sistem CRT, mahkamah tinggi di Pulau Pinang dan Johor juga akan turut dilengkapkan dengan sistem pengurusan kes sivil secara sistematik melalui komputer, seperti yang telah diamalkan di mahkamah di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

"Sistem ini juga akan dilengkapkan dengan kemudahan 'SMS alert' yang akan dihantar kepada peguam supaya mereka bersedia sebelum kes dipanggil untuk pendengaran," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain