suria

Selangor Cari Ramai Pelabur Dari Sektor Teknologi Hijau

SHAH ALAM: Selangor mensasar untuk menarik lebih ramai pelabur daripada sektor teknologi tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau tahun ini, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Teresa Kok, hari ini.

Bajet Malaysia bagi 2010 menyediakan beberapa insentif bagi pelaburan dalam tenaga hijau dan boleh diperbaharui, kata Kok.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan dialog mengenai "Pengeluaran Lesen, Rumah Gudang, Perkhidmatan dan Kemudahan yang disediakan oleh Kastam Di raja Malaysia bagi Pelabur 2010" yang dianjurkan oleh SSIC Bhd di sini.

"Kerajaan negeri merancang pergi ke Jerman dan Belanda tahun ini bagi mencari pelabur terutamanya yang terlibat dalam tenaga solar dan aktiviti pembuatan hiliran," katanya.

Apabila ditanya mengenai jumlah pelaburan yang diterima Selangor tahun lepas, beliau berkata, kerajaan negeri menarik pelaburan bernilai RM3.9 bilion sehingga September tahun lepas dan menunggu angka seluruh tahun daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Mengenai dialog tersebut, Kok berkata, ia mungkin membayangkan ekonomi mula meningkat berdasarkan kepada kehadiran wakil perindustrian dan minat yang ditunjuk mereka.

Antara isu yang dibangkitkan oleh peserta dialog ialah kekurangan kemudahan bagi pengeksport untuk membuat pembayaran cukai kepada jabatan kastam kerana mereka terpaksa pergi ke pejabat kastam di Pulau Indah WestPort untuk membuat pembayaran.

Mereka berharap jabatan itu boleh membuka pejabat kutipan pembayaran cukainya di Shah Alam dan Puchong untuk mengelakkan kelewatan pembayaran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain