suria

"Saya Tidak Akan Tunduk" - Zulkifili Noordin

PETALING JAYA: Walaupun Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengarahkan Zulkifli Noordin supaya 'tutup mulut' atau berhenti daripada mengeluarkan kenyataan media berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam tetapi beliau bertegas tidak akan tunduk pada keputusan itu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu tetap bertegas bahawa sebagai umat Islam beliau mempunyai hak untuk menyampaikan sebarang pandangan atau pendapat selagi tidak bertentangan dengan agama.

"Saya akan terus bercakap mengenainya, tidak ada siapa boleh halang saya untuk menegakkan Islam," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Zulkifli berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan Biro Politik PKR hari ini yang mengarahkannya supaya tidak mengeluarkan kenyataan media sehingga siasatan oleh lembaga disiplin selesai.

Biro Politik parti itu juga memutuskan supaya kes berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dirujuk kepada lembaga disiplin dalam tempoh sebulan.

Menjelas lanjut, Zulkifli berkata mengikut fahamannya, beliau hanya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Khalid.

"Apa yang saya diberitahu oleh pihak media, Biro Politik hanya tak benarkan saya bercakap mengenai kes saman saya terhadap Khalid.

"Bagi saya isu saman dan isu kalimah Allah adalah dua perkara yang berbeza... jadi sepatutnya tak ada masalah untuk saya terus bercakap (tentang isu Allah)," katanya yang mengakui masih belum menerima maklumat rasmi mengenai keputusan oleh Biro Politik parti itu.

Dalam pada itu, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan supaya kesnya dirujuk untuk siasatan lanjut oleh lembaga disiplin.

Malah beliau akan memberi kerjasama yang sepenuhnya bagi melancarkan siasatan.

"Saya tak ada masalah dengan keputusan Biro Politik, saya terima dengan hati terbuka.

"Saya akan beri kerjasasama sepenuhnya kerana saya juga ada hak untuk membela diri dan menjelaskan pendirian saya mengenai perkara ini," katanya.

Sabtu lalu Zulkifli membuat laporan polis terhadap Khalid kerana didakwa mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina agama Islam termasuk mengatakan Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988 sebagai ketinggalan zaman.

Laporan polis berkenaan merujuk kepada kenyataan Khalid dalam satu artikel disiarkan portal berita bertajuk ‘Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan.’

Berikutan itu, Zulkifli menggesa polis supaya menjalankan siasatan terhadap Khalid mengikut Akta Hasutan 1948 atau Seksyen 298 Kanun Acara Jenayah.

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain