suria

Polis Nafi Guna Kekerasan Tahan Mahasiswa Sabtu Lepas

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menolak dakwaan pasukan itu menggunakan kekerasan, provokasi dan tidak profesional ketika menghalang perhimpunan mahasiswa di ibu negara Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis menangani perkara itu dengan berhati-hati berdasarkan keperluan undang-undang.

Beliau berkata, polis telah mengawal keadaan dengan mengarahkan mereka bersurai tetapi mereka enggan untuk bersurai malah menganggu ketenteraman, keselamatan dan lalu lintas orang ramai di kawasan itu.

Dilaporkan, sembilan penuntut dari lima institusi pengajian tinggi ditahan dalam insiden itu kerana mengadakan perhimpunan haram dan enggan bersurai walaupun diminta berbuat demikian oleh polis.

Muhammad Sabtu dalam kenyataan hari ini berkata, mereka yang ditahan dibebaskan pada hari yang sama setelah penyiasatan dan proses mengambil keterangan selesai.

"Semasa di balai polis, keadaan menjadi tegang apabila terdapat campur tangan daripada beberapa pihak yang merumitkan proses pertanyaan awal dan penyiasatan. Tindakan pihak-pihak itu telah melengahkan proses polis untuk membebaskan kumpulan pelajar berkenaan dengan jaminan," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, berdasarkan aspek siasatan polis, mereka yang terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain