suria

Polis Cedera Dirempuh Penagih

BESUT: Seorang anggota polis menerima 16 jahitan di tangan dan lutut kanan setelah dirempuh sebuah kereta sewa yang dipandu seorang penagih dadah ketika operasi membasmi dadah di Kampung Tembila dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, Lans Koperal Mohd Razali Nor dari Cawangan Anti Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dikatakan melambung setelah dirempuh ketika cuba menahan lelaki berkenaan.

Beliau dihantar ke Hospital Daerah Besut dan dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata sebelum itu, Razali bersama lima anggota polis cawangan Narkotik membuat serbuan ke sebuah rumah di Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila.

"Dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam itu, polis menahan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30an dan merampas 194 pil kuda seberat 20 gram yang dianggar bernilai RM4,800 serta wang tunai sebanyak RM358 yang dipercayai hasil jualan dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, ketika polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek, sebuah kereta sewa yang dipandu seorang lelaki dalam lingkungan umur 30 tahun memasuki kawasan rumah terbabit dipercayai untuk membeli pil kuda.

"Bagaimanapun, sebaik anggota polis memperkenalkan diri, lelaki terbabit mengundurkan kereta sewanya dan cuba melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, Razali cuba memintas kereta sewa berkenaan sambil meminta pemandunya memberhentikan keretanya tetapi lelaki itu terus memecut dan melanggar anggota polis berkenaan.

"Kenderaan suspek yang disembunyikan di kawasan semak di Kampung Tembila ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian, lebih kurang satu jam kemudian dan lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi itu ditahan di sebuah rumah berhampiran kereta terbabit disorokkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain