suria

Pereka Dalaman Ditahan Simpan Koleksi Senjata Tiruan

KUALA LUMPUR: Obsesi seorang lelaki yang gemar menyimpan koleksi pistol dan senapang tiruan membawa padah apabila perbuatannya itu yang merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang terbongkar apabila kediamannya di Kampung Pasir, Hulu Kelang, diserbu polis malam tadi.

Dalam serbuan 12 tengah malam itu, polis menemui pelbagai senjata tiruan, yang sekali imbas menyerupai senjata asli, disimpan dalam bilik khas di rumah itu, yang menjadi tempat lelaki itu menyimpan barang koleksi peribadi dan hobinya.

Antara senjata tiruan yang ditemui ialah tiga pucuk pistol dan 12 buah rifel pelbagai jenis selain sejumlah kelopak dan beberapa kotak peluru palsu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata lelaki berusia 32 tahun itu, yang merupakan pereka dalaman, kini ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan, katanya.

Jika sabit kesalahan, ia boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Siasatan turut mengambil kira sama ada suspek menggunakan senjata tiruan itu untuk kegiatan jenayah atau menjual kepada rakannya, katanya.

Abdul Jalil berkata suspek dipercayai membeli barangan tiruan itu dari negara jiran.

Harga pasaran senjata tiruan itu dianggarkan antara RM2,000 hingga RM4,000 bagi setiap laras rifel manakala RM10 bagi setiap beg peluru palsu itu, katanya.

Dalam perkembangan kes lain, beliau berkata kertas siasatan berhubung laporan polis mengenai klip video yang memaparkan penghinaan terhadap Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Katanya polis masih mengesan dalang di sebalik paparan klip video itu untuk membantu siasatan.

Semalam seorang wartawan radio membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung klip video dalam "Youtube" yang memaparkan penghinaan terhadap Almarhum Sultan Iskandar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain