suria

Peraturan Yuran Rawatan Hospital Swasta Dikaji Semula

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengkaji semula peraturan mengenai yuran konsultansi dan prosedur rawatan yang dikenakan oleh hospital swasta, kata Pengarah Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Nooraini Baba.

Beliau berkata, perkara tersebut dikaji di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 serta peraturan berkaitannya.

Beliau diminta mengulas mengenai terdapat rungutan orang awam bahawa terdapat hospital swasta mengenakan bayaran rawatan tinggi dan tidak mematuhi garis panduan yang ditentukan oleh kerajaan.

"Kementerian ada menerima aduan mengenai perkara ini. Contohnya mengenai kadar bayaran bagi pembedahan apendik.

"Ada doktor (swasta) bila lakukan pembedahan ini, mereka kenakan bayaran yang berbeza. Mereka mengenakan bayaran berasingan bagi pembedahan dan membuang apendik itu sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Nooraini berkata, Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan hospital kerajaan dan swasta mengenai kadar bagi rawatan perubatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain