suria

Peguam Negara Tidak Serah 'Fiat' Dakwa V.K. Lingam: Karpal

KUALA LUMPUR: Peguam veteran Karpal Singh berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak menyerahkan sijil perintah 'fiat' bagi memberi kuasa kepadanya untuk mendakwa Peguam Datuk V.K.Lingam.

Katanya, beliau menerima sepucuk surat daripada Abdul Gani semalam dengan menyatakan bahawa dia tidak dapat mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

"Hujah Peguam Negara tidak dapat menyediakan atau mengeluarkan perintah 'fiat' di bawah Seksyen 379 itu berkaitan dengan cara memulakan pendakwaan jenayah.

"Ia tidak memperuntukkan untuk memulakan sebuah pendakwaan jenayah," kata Karpal dalam kenyataan di sini hari ini.

(Perintah 'fiat' merupakan perintah ringkas atau waran seorang hakim atau majistret dalam mengarahkan sesuatu tindakan diambil).

Lingam dikaitkan dengan skandal melobi dan mempengaruhi urusan pelantikan hakim-hakim setelah klip video perbualan telefon beliau tersebar luas.

Karpal berkata, tindakan memulakan sebuah pendakwaan jenayah diperuntukan mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Seksyen 376 (1) CPC.

Katanya, hujahan Abdul Gani itu hanya semata-mata dari segi undang-undang dan wujud bahan yang secukupnya terhadap syor Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Lingam.

Karpal meminta Abdul Gani untuk menyemak semula kedudukannya dan memulakan prosiding jenayah terhadap Lingam dan membenarkannya mendakwa peguam itu kecuali Peguam Negara atau pegawainya tidak mahu berbuat demikian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain