suria

Najib: Prestasi Malaysia Dinilai Dengan Kepantasan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata prestasi Malaysia akan dinilai dengan kepantasan membuat keputusan dan perlaksanaan untuk bersaing.

"Untuk 2010, saya nak tekankan soal kepantasan membuat keputusan, kepantasan melaksanakan tanpa mengorbankan kualiti, maknanya, kita menekankan ketepatan tetapi kena buat sesuatu dengan pantas sebab itu menjadi salah satu kayu ukur negara yang mempunyai daya saing untuk berada di saf hadapan," katanya.

Ini adalah kerana negara-negara akan dinilai, menurut Najib, melalui indeks persaingan negara, laporan Bank Dunia dan sebagainya.

"Kita akan dinilai, kalau Malaysia berada di tempat yang corot, keyakinan orang akan terjejas. Oleh itu kita tekankan kepantasan untuk kita deliver (menyampaikan) memenuhi jangkaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program "Soal Jawab Bersama Perdana Menteri", siaran TV3 yang dikendalikan oleh Datuk Ahmad A Talib iaitu pengarah eksekutif (editorial) Media Prima Bhd dan New Straits Times Press (M) Bhd.

Najib juga menekankan kepentingan "outcome (hasil) berbanding output (keluaran)" dalam menentukan keberkesanan transformasi kerajaan.

Ini akan dimaktubkan dalam pendekatan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indeks Prestasi Utama Negara (NKPI), kata Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain