suria

Muhyiddin Tiba Di Cebu Untuk Persidangan Menteri Pendidikan

CEBU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba hari ini untuk menghadiri persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.

Ketibaan mereka disambut Konsul Besar Malaysia di Davao City, Mohammad Azhar Mazlan, Setiausaha Rendah Pelajaran Filipina bagi Program dan Projek Khas, Vilma C Labrador dan pegawai-pegawai lain.

Muhyiddin juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai pendidikan dari Filipina, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

Pada persidangan itu, para menteri berkenaan dijangka membincangkan laporan mengenai Rangkaian Universiti Asean dan juga bahan sumber sekolah Asean.

Satu forum mengenai kaedah pembelajaran masa depan akan turut diadakan. Malaysia dijangka berkongsi pengalamannya dalam soal pembangunan pelajaran pada forum itu.

Sekretariat Seameo yang berpejabat di Bangkok akan membentangkan laporan mengenai projek bersama bagi pendidikan untuk golongan terpinggir di negara-negara Asia Tenggara.

Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan untuk projek itu.

Anggota Seameo terdiri Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain