suria

Malaysia Perlu Lakukan Suatu Luar Biasa Agar Tidak Dipintas, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tengah-tengah "lautan" yang banyak persaingan dan perlu melakukan sesuatu yang luar biasa supaya kemajuannya tidak dipintas oleh negara-negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kalau kita tidak melakukan sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang bersungguh-sungguh, saya khuatir kita akan dipintas oleh negara lain," kata beliau dalam program "Soal Jawab Bersama Perdana Menteri" yang disiarkan TV3 malam semalam.

Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya sama ada wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju pada 2020 akan tercapai.

Program tersebut dikendalikan oleh Datuk Ahmad A. Talib iaitu pengarah eksekutif berita dan editorial Media Prima Bhd dan New Straits Times Press (M) Bhd.

Menurut Najib, definisi negara maju akan tertakluk kepada apa sebenarnya nilai sebuah negara maju kerana senario dunia sudah berubah.

Beliau berkata Malaysia menunggu beberapa tahun untuk pulih daripada krisis kewangan Asia 1997 yang berlaku tanpa dijangka dan kini dunia pula dilanda krisis kewangan global di mana Malaysia juga mendapat tempiasnya.

Oleh itu, kata beliau, keadaan lebih mencabar untuk mencapai tahap negara maju disebabkan pertumbuhan yang hilang akibat krisis-krisis tersebut di samping persaingan yang semakin hebat dengan negara-negara lain.

"Dulu dalam tahun 80-an, China, ideologi komunisme jadi panduan utamanya, India pula belum melakukan proses reform sementara Vietnam pula negara (ekonomi)nya tertutup. Sekarang negara-negara ini pula telah menjadi pesaing," kata beliau.

Semasa ditanya apa harus dilakukan supaya Malaysia tidak dipintas, Najib berkata agenda utama beliau bermula dengan falsafah pentadbiran iaitu konsep 1Malaysia di mana "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

"Selepas itu, kita perlu ada metodologi NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) dan NKPI (Petunjuk Prestasi Utama Negara). Ini sebahagian dari proses tranformasi kerajaan iaitu government transformation programme, yang ketiga ialah model ekonomi baru untuk Malaysia yang masih dalam proses digubal, lepas itu kita ada Rancangan Malaysia ke-10," katanya.

Seterusnya, kata beliau terdapat cabang-cabang agenda tersebut yang menekankan terhadap inovasi dan kreativiti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain