suria

Kastam Kelantan Rampas Mercun Bernilai RM160,000

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan merampas 1,963 kilogram pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM160,000 yang cuba diseludup masuk dan ditinggalkan dalam kawasan semak di Kampung Sungai Bayu, Gua Musang, semalam.

Pengarahnya, Zakaria Yusoff berkata, pihaknya percaya dapat menumpaskan sindiket penyeludupan bahan itu dari negara jiran ke negara ini untuk diedarkan sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Beliau berkata, rampasan itu dibuat oleh sepasukan lapan anggotanya yang diketuai Penolong Pengarah Kastam, Abdul Aziz Omar setelah membuat intipan hasil maklumat orang ramai sejak tiga hari lepas. Zakaria berkata, pihaknya juga menahan sebuah lori bernilai RM20,000 yang dipercayai untuk mengangkut bahan larangan itu.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana semasa pasukan itu sampai ke lokasi itu, penyeludup dipercayai telah melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Zakaria berkata, nilai rampasan barang larangan import itu tidak termasuk cukai berjumlah RM30,350.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai barangan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan sehingga Ahad lepas, bahagian penguatkuasa Kastam Kelantan berjaya mematahkan 35 kes penyeludupan barangan yang dielak cukai bernilai RM130,500.20 dan mengenakan kompaun sebanyak RM32,900.

Antara barangan yang dirampas termasuk beras, tepung, pakaian, kain batik dan buah-buahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain