suria

Dua Kumpulan Edar Dadah Di Terengganu Tumpas

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menumpaskan dua kumpulan pengedaran dadah di bandar raya ini apabila menahan enam lelaki dan seorang wanita dalam beberapa siri operasi dalam tempoh empat hari lepas.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pantai Tanjung di sini pada pukul 2.30 pagi semalam, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 dan 27 tahun kerana disyaki terlibat secara aktif mengedar pil kuda sejak tahun lepas.

"Kesemua mereka kecuali wanita berkenaan berada dalam keadaan khayal dan hasil pemeriksaan, polis menemui 0.5 gram syabu dan 800 pil kuda yang dianggar bernilai RM40,000," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd Wahid pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati pil kuda itu diseludup masuk dari negara jiran dan diperoleh dari seorang pembekal dadah yang dikenalpasti dari Kelantan.

Roslan berkata, hasil serbuan itu juga, polis menyita tiga motosikal dan merampas wang tunai sebanyak RM8,400.

Kesemua mereka ditahan reman seminggu sehingga 31 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Terdahulu itu, Roslan berkata, tiga lelaki disyaki anggota kumpulan pengedaran ganja ditahan dalam dua serbuan di Seberang Takir, Jumaat lepas dan hasil pemeriksaan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Ketapang, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas 175 gram ganja yang dianggar bernilai RM12,250.

"Ekoran itu, polis menahan dua lagi rakannya masing-masing berumur 33 dan 36 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Fikri dan merampas dadah seberat 48 gram yang dianggar bernilai RM3,600. Seorang daripada mereka bekerja sebagai pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Roslan berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya ganja itu dibawa dari Keramat, Kuala Lumpur dan diedar untuk pasaran di sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, kesemua mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain