suria

Denggi: Kerajaan Ambil Langkah Berjaga-Jaga

SEREMBAN: Kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penyakit demam denggi kerana ketika ini merupakan waktu kemuncak serangan penyakit itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, sejak 1 hingga 24 Januari sahaja, sudah ada 11 kematian dengan 3002 kes demam denggi.

"Ini merupakan satu bilangan yang tinggi dan saya beri amaran kepada rakyat Malaysia bahawa ini perlu diberi perhatian dan ia lebih banyak mendatangkan kematian berbanding wabak H1N1 (wabak selsema babi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kebajikan dan kesihatan Magnum Cares 2010 di Hospital Mawar hari ini.

Beliau berkata, tahun lepas sahaja, demam denggi mengorbankan 88 nyawa rakyat Malaysia berbanding hanya 77 kematian di kalangan pesakit H1N1.

"Cuma wabak H1N1 ini merebak dengan cepat sedangkan denggi ada kaitan dengan tempat pembiakan nyamuk aedes. Rakyat tidak melihat nyamuk aedes ini sebagai ancaman, dia ingat dia boleh "tawan" ini nyamuk," katanya. Katanya, mereka bagaimanapun lupa bahawa walaupun kawasan itu habis dibersihkan daripada nyamuk dan larva aedes tetapi telur nyamuk itu boleh bertahan sehingga enam bulan di tempat kering.

"Bila hujan balik dan tempat yang sudah kering itu ditakung air, telur itu akan menetas dan keluar nyamuk baru kerana itu tidak mustahil, apabila wabak denggi ini datang dari kawasan yang kita sangka sudah selamat," katanya.

Sementara itu, Liow berkata, masalah kerosakan buah pinggang di negara ini semakin serius dengan 20,000 rakyat Malaysia sedang menderita akibat penyakit itu berbanding hanya 836 orang 20 tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan angka yang dikumpul daripada mereka yang mendapat rawatan di pusat-pusat mencuci buah pinggang di klinik kerajaan, swasta atau pusat hemodialisis milik pertubuhan bukan kerajaan.

"Dahulu hanya ada 836 orang sahaja yang sakit buah pinggang pada 1990 tetapi hari ini jumlah itu semakin membesar," katanya.

Katanya ekoran itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan bantuan subsidi mulai 2001 dan sehingga sekarang, ia kini menjangkau RM145 juta.

"Subsidi itu dikeluarkan untuk golongan yang tidak bernasib baik kerana penyakit ini merupakan penyakit yang mahal (kos rawatan)," katanya.

Katanya, setiap pesakit buah pinggang memerlukan lebih kurang RM160 untuk setiap kali rawatan mencuci organ itu dan kerajaan memberi subsidi sebanyak RM80.

"Jika memerlukan suntikan erythropoietin, kerajaan membantu rakyat sebanyak RM30 setiap suntikan dan pesakit buah pinggang memerlukan tiga suntikan setiap minggu," katanya.

Beliau berkata, tinjauan kementeriannya mendapati 57 peratus kes kegagalan buah pinggang adalah disebabkan serangan kencing manis dan tujuh peratus lagi akibat penyakit darah tinggi manakala bakinya berpunca daripada penyalahgunaan dadah serta sebab-sebab lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain