suria

Ada Usaha Jadikan Malaysia Negara Republik - Khir Toyo

PETALING JAYA: Malaysia tidak mustahil akan diisytihar sebagai sebagai sebuah republik jika kuasa Sultan semakin terhakis.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo mendakwa, usaha ke arah itu dapat dilihat berdasarkan beberap insiden mencabar kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam yang hakikatnya mempunyai agenda tersembunyi.

"Secara jelas kita dah nampak tindakan beberapa pihak yang mencabar kuasa monarki yang tidak seberapa ketika ini yang menjurus kepada kepada penubuhan negara republik," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menegaskan bahawa Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sudah ketinggalan zaman.

Di bawah enakmen berkenaan, orang bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah termasuk 25 kalimah lain.

Ekoran itu juga Sabtu lalu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin - yang kini menerima tekanan daripada pimpinan partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan polis terhadap Khalid kerana mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina agama Islam.

Zulkifli mendesak supaya Khalid menarik balik kenyataannya yang dianggap menghina Sultan Selangor, Yang di-Pertuan Agong dan umat Islam.

Mohd. Khir yang juga Ketua Pembangkang berkata, Perak, Pahang dan Johor juga memiliki enakmen yang sama semata-mata untuk melindungi kepentingan umat Islam dengan kuasa yang ada pada Raja-Raja Melayu.

"Apabila ada yang mula mencabar enakmen terbabit ia seakan-akan mencabar kuasa Sultan yang amat berkait dengan agama," tegasnya lagi.

Beliau berkata, Malaysia akan kehilangan sistem raja berpelembagaan apabila Raja Melayu tiada lagi kuasa berkaitan hal-hal agama.

"Mungkin itu yang sedang dilakukan oleh puak-puak tertentu. Dan saya yakin mereka bakal dapat sokongan daripada masyarakat antarabangsa yang mahu sangat melihat Malaysia sebagai negara republik seperti Singapura dan Filipina," jelasnya.

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain