suria

68 Sekolah Teknik Dijadikan Sekolah Vokasional Menjelang 2012

DUNGUN: Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 68 buah Sekolah Menengah Teknik di seluruh negara akan distruktur semula untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional menjelang 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ia bagi menampung keperluan pelajar dalam bidang kemahiran selain untuk mengelakkan persepsi "second class" kepada sekolah vokasional.

"Usaha kita sekarang adalah untuk menukar balik sekolah teknik ini kepada sekolah vokasional dan menjelang 2012 sebanyak 68 buah sekolah teknik akan menjadi sekolah vokasional.

"Sebab itu kita kena memantapkan mutu pendidikan vokasional di negara ini dan kita tak mahu orang melihat sekolah vokasional ini 'second class'," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar bagi Parlimen Dungun dan program Juara Rakyat di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun di sini, hari ini.

Menurutnya, sekolah vokasional sebelum ini diwujudkan dengan tujuan memberikan kemahiran kepada pelajar-pelajar yang kurang meminati bidang akademik.

Selain itu, beliau berharap agar kursus-kursus yang ditawarkan di sekolah aliran vokasional tersebut mampu menepati kehendak pasaran kerja.

"Kita berharap kursus-kursus di (sekolah) vokasional ini boleh menawarkan bidang-bidang yang memberi peluang pasaran kerja kepada mereka, contohnya bidang penerbangan.

"Kalau di Indonesia, bagi mereka yang mengambil kursus vokasional bidang penerbangan ini, industri sedang menunggu mereka untuk diambil bekerja," katanya.

Mohd Puad berkata, setakat ini sekolah vokasional belum lagi menawarkan bidang berkenaan dan kementerian sedang mengkaji untuk mewujudkan bidang tersebut.

Pada 1 Disember tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membina lebih banyak Sekolah Menengah Vokasional di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran dilaporkan berkata bahawa penguasaan dalam bidang vokasional dapat memenuhi keperluan tenaga mahir yang begitu mendesak ketika ini untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain