suria

Warga Bangladesh Maut Dalam Letupan Di Kilang Sawit

SETIU: Seorang pekerja rakyat Bangladesh terbunuh manakala dua lagi pekerja tempatan cedera parah apabila tangki gas yang sedang dikimpal meletup di Kilang Sawit Chalok, milik Felda dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Saik Othman Abdul Hamid berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi ketika ketiga-tiga pekerja penyelenggaraan itu sedang melakukan kimpalan di atas tangki gas setinggi kira-kira 13 meter di belakang kilang terbabit. "Sewaktu melakukan kerja kimpalan, tiba-tiba berlaku letupan menyebabkan ketiga-tiga pekerja terbabit terpelanting dengan dua daripadanya jatuh ke bawah dan seorang terjatuh ke dalam lubang tangki gas itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata letupan itu berlaku kira-kira 600 meter daripada pintu utama kilang berkenaan.

Lelaki rakyat Bangladesh itu mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Setiu untuk bedah siasat, katanya.

Beliau berkata dua pekerja tempatan yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilapor stabil.

Identiti kesemua mangsa belum dikenalpasti, katanya.

Sementara itu, seorang saksi Hariri Salahhuddin, 35, berkata ketika kejadian beliau bersama rakannya sedang memunggah buah kelapa sawit sebelum terdengar bunyi letupan yang kuat dari arah kilang. "Saya ternampak seorang terpelanting dan merasa amat takut dan terus lari menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain