suria

Sembilan Suspek Kes Penyeludupan Pasir Dibebas

PUTRAJAYA: Sembilan suspek yang ditahan reman lima hari sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes penyeludupan pasir dibebaskan pada Isnin dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua mereka termasuk seorang wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang di sini pada pukul 10.45 pagi Isnin, sebelum dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Exco kerajaan negeri Selangor Yaakob Sapari, iaitu majikan kepada salah seorang suspek yang dibebaskan itu.

Pada Rabu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull mengumumkan penangkapan 34 orang di lima buah negeri kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri dan menyeludup pasir, manakala empat lagi ditangkap keesokan harinya.

Bernama difahamkan sehingga hari ini 28 orang telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala 10 lagi masih dalam tahanan reman di seluruh negara.

Artikel Lain