suria

Kerajaan Kelantan Diminta Ketepikan Sentimen Politik Dalam Rundingan Wang Ihsan

KOTA BHARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta Kerajaan Kelantan mengenepikan sentimen politik dalam rundingan pemberian wang ihsan demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, pemimpin PAS tidak harus mengamalkan konfrantasi politik berterusan tanpa mengira masa.

"Yang penting rakyat mendapat faedah dalam bentuk apa sekalipun," katanya kepada pemberita pada majlis penutup pertandingan boling Jabatan Pembangunan Persekutuan, di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak tawaran Kerajaan Pusat menyertai jawatankuasa rundingan pemberian wang ihsan yang akan diagih kepada rakyat dalam masa terdekat.

Mustapa berkata, pemimpin politik perlu menggunakan pendekatan yang positif dalam menangani isu itu demi kepentingan rakyat.

"Tujuan kerajaan menjemput wakil kerajaan negeri menyertai jawatankuasa pengagihan wang ihsan itu menunjukkan sikap terbuka Kerajaan Pusat demi untuk kepentingan rakyat negeri ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain