Jenazah Tun Ghazali Selamat Dikebumikan Di Makam Pahlawan - Semasa | mStar

Jenazah Tun Ghazali Selamat Dikebumikan Di Makam Pahlawan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie yang meninggal dunia semalam disemadikan di Makam Pahlawan di perkarangan Masjid Negara di sini hari ini kira-kira pukul 2.30 petang.

Lebih 200 sanak saudara, kenalan dan dif-dif kehormat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara.

Antara dif kehormat ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan beberapa menteri dan timbalan menteri kabinet lain.

Dilahirkan di Kuala Lipis, Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam.

Sebelum itu, jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan di Masjid Al-Mujahiddin, Damansara Utama berhampiran rumah adik perempuan Allahyarham, Datin Yuhanie Shafie, 78, pada kira-kira pukul 10 pagi.

Jenazah Allahyarham turut disembahyangkan selepas solat zohor pada kira-kira 1.30 petang di Masjid Negara dengan diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Suasana pilu menyelubungi Makam Pahlawan bila talqin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.

Anak saudaranya Datuk Amin Raiffe Othman, yang mewakili anggota keluarga Ghazali, berkata beliau sekeluarga merakamkan penghargaan kerana diberi penghormatan pengkebumian Allahyarham di Makam Pahlawan.

"Saya mewakili anggota keluarga mengucapkan terima kasih dan penghargaan tinggi kami sekeluarga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kerana memberi penghormatan negara dengan pengkebumian di Makam Pahlawan," katanya kepada pemberita selepas upacara pengkebumian.

Mengenai cadangan Najib agar kerajaan melantik seseorang untuk menulis memoir Ghazali, beliau berkata keluarganya akan membantu mengumpul bahan untuk penghasilan memoir itu termasuk mendapatkan beberapa catatan yang pernah ditulis oleh Allahyarham.

"Kami akan bantu kerana dia (Tun Ghazali) ada tulis, catat dalam buku dia walau tidak complete (lengkap), kami akan bantu usaha membukukan supaya rakyat tahu keadaan dan contribution (sumbangan) yang orang lain tak tahu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain