suria

Persatuan Kerabat Dedah Peranan Raja Pada Rakyat

KUALA KANGSAR: Setiap negeri yang mempunyai raja wajar mempunyai persatuan kerabat diraja bagi mendidik rakyat terutama generasi muda akan peranan dan kepentingan institusi itu kepada negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini kerana institusi raja masih relevan khususnya dalam membantu kerajaan menangani isu-isu tertentu.

"Banyak hal yang mana tanpa institusi raja adalah sukar untuk kerajaan membuat keputusan. Walaupun ada golongan Melayu moden yang beranggapan ia adalah kuno tetapi sebenarnya institusi raja ini masih relevan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan surau baru Kampung Cheh Hilir, di Kati di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) agar setiap negeri yang mempunyai raja di negara ini menubuhkan persatuan kerabatnya sendiri bagi mempertahankan institusi itu yang kini sering dipertikai pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, kewujudan institusi Raja-raja Melayu di negara ini adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

"Dengan adanya sistem demokrasi yang unik ini di Malaysia, ahli politik tidak boleh membuat keputusan mengenai sesuatu perkara terutama berhubung agama Islam. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa kerajaan tidak bebas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain