suria

Kerajaan Akan Bantu MBS: Noh Omar

SHAH ALAM: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hari ini berkata, Kerajaan Persekutuan akan bersama-sama membantu Majlis Belia Selangor (MBS) dalam melaksanakan program-program untuk perkembangan belia di Selangor.

"MBS mesti bergerak ke depan...tak apa kalau Kerajaan Negeri Selangor tak nak...Insya-Allah kita Kerajaan Persekutuan akan bersama-sama MBS untuk memastikan nasib belia negeri Selangor akan terbela," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan MBS ke 26 di sini hari ini.

Sebelum itu, Presiden MBS, Datuk Faizal Abdullah dalam ucapannya berkata, sejak tampuk pemerintahan negeri beralih kepada Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional, tiada peruntukan diberikan kepada pertubuhan itu.

Faizal berkata, sebelum itu, MBS lazimnya menerima peruntukan di antara RM1 juta ke RM2 juta setahun tetapi sekarang tiada, maka diharap Kerajaan Pusat dapat memberikan sokongan kewangan kepada pergerakan belia di negeri ini.

Noh berkata, kementeriannya mengambil berat dan prihatin mengenai perkembangan majlis belia di negeri Selangor yang merupakan "kilang" untuk mengeluarkan pemimpin-pemimpin dari kalangan generasi muda.

Dari segi ekonomi katanya, pada masa ini kementeriannya menyediakan pelbagai projek industri tani yang boleh disertai oleh belia seperti ternakan burung walit (layang-layang) untuk sarangnya, perusahaan ikan hiasan dan rumpai laut yang mampu memberikan pulangan lumayan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain