suria

Bayaran Pampasan, Gantian Tanah Akan Diutamakan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan akan memberi keutamaan dalam soal membayar pampasan dan gantian tanah yang telah diambil daripada penduduk Kampung Jeram Hulu dan Kampung Banggol Binjai, Tepuh di sini untuk pembinaan jalan dan jambatan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penerangan projek dan pengambilan tanah untuk pembinaan laluan alternatif itu di kampung berkenaan di sini hari ini, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, anggaran awal pampasan terhadap penduduk yang terlibat ialah sebanyak RM16 juta.

Laluan alternatif sejauh 5.6 kilometer itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2012 dan mempunyai empat lorong dengan belanja RM225 juta.

"Laluan itu turut memberi keselesaan kepada mereka yang datang dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Dua dan dari Kelantan," katanya.

Daripada 245 lot tanah yang diambil, 214 adalah milik persendirian, 18 milik kerajaan negeri dan 13 milik Kerajaan Persekutuan.

Hadir sama pada majlis penerangan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Muhammad Ramli Nuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain