suria

Najib Singkatkan Lawatan Ke India, Tiba Di KLIA Awal Pagi Ini

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memendekkan lawatan rasminya ke India berikutan kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail semalam, tiba di KLIA di sini awal pagi ini.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa menteri kabinet, tiba dengan pesawat khas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kira-kira pukul 3.30 pagi.

Sejurus tiba, doa dibaca dan Perdana Menteri serta rombongan kemudian menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh Almarhum Sultan Iskandar.

Mengikut jadual asal Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke India sepatutnya berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai pada pukul 5 petang ini (waktu Malaysia).

Namun berikutan kemangkatan Sultan Johor, Najib bergegas pulang awal ke tanah air dari lapangan terbang itu pada pukul 9 malam (11.30 malam tadi waktu Malaysia).

Sultan Iskandar, 77, mangkat di Hospital Pakar Puteri di Johor Baru, pada hari Jumaat pukul 7.15 malam. Sebelum ke India, Najib juga melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain