suria

Mayat Lelaki Dengan Tangan Dan Kaki Terikat Ditemui Di Ladang

BATANG KALI: Seorang lelaki ditemui mati dibunuh dengan keadaan tangan dan kakinya diikat di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Remok, Jalan Batang Kali-Genting Highland, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata lelaki tempatan berumur 40 tahun itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.

"Selain tangan dan kaki diikat, terdapat kesan lebam di bahagian muka lelaki itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

"Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan ladang," tambahnya.

Beliau berkata polis turut menjumpai sekeping getah lapik bonet kereta yang mempunyai kesan tompokan darah dipercayai darah lelaki tersebut.

Norel berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain