suria

Keluarga Punca Anak Terjebak Dengan Dadah

MOHD. YUNUS PATHI
MOHD. YUNUS PATHI
MOHD. YUNUS PATHI

KUALA LUMPUR: Keluarga adalah faktor utama ramai golongan muda kini terlibat dengan dadah, kata Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Mohd. Yunus Pathi.

Menurutnya, ibu bapa yang lebih suka mendesak anak-anak untuk mengikut kehendak mereka adalah sebab utama golongan remaja berpaling kepada rakan-rakan sebaya jika berdepan dengan masalah.

“Ramai ibu bapa tidak memberi ruang privasi kepada anak-anak dan sering kali memaksa mereka untuk membuat sesuatu.

“Keperluan dan kehendak remaja perlu diberi tumpuan agar mereka berasa dihargai atau mereka akan mencari alternatif lain sehingga dipengaruhi gejala negatif termasuk dadah,” katanya kepada mStar Online di Rumah Pengasih di sini semalam.

Tambah Mohd. Yunus, ibu bapa perlu memahami situasi anak-anak dan mengambil tahu masalah yang dihadapi agar mereka dapat berbincang mengenainya secara terbuka.

"Komunikasi antara anak dan ibu bapa penting bagi mengatasi sebarang isu yang dihadapi,” jelasnya.

Beliau sering menitik beratkan cara-cara mendidik anak sejak kecil lagi dalam setiap seminar dan kempen anti dadah yang diadakan.

“Lazimnya kebanyakan daripada remaja yang terlibat dengan dadah di Rumah Pengasih mengadu tidak dapat berbincang masalah secara terbuka dengan ibu bapa mereka.

“Ibu bapa perlu menetapkan undang-undang di rumah dan memastikan anak-anak sedar kenapa peraturan tersebut dilaksanakan agar mereka belajar untuk menanggung akibatnya kelak,” katanya.

Sementara itu, kata Mohd. Yunus, ada segelintir ibu bapa dikatakan menggalakkan anak masing-masing terus terlibat dengan dadah daripada tampil ke depan kerana malu dengan masyarakat.

Jelasnya, tanpa disedari perbuatan ibu bapa terbabit sebenarnya merosakkan masa depan anak-anak mereka.

“Ramai ibu bapa malu kerana sikap anak-anak dan lebih rela menyembunyikan tabiat mereka dari datang mendapatkan bantuan daripada persatuan-persatuan yang berkaitan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa agar tidak berputus asa dan tidak panik apabila mendapat tahu anak-anak mereka terlibat dengan najis dadah.

“Pertamanya, mereka perlu tahu cara-cara mengawal anak dan seterusnya perlu mencari jalan penyelesaian tanpa melengahkan masa.

“Ini penting kerana dadah-dadah sintetik kini yang terdapat di pasaran akan memudaratkan sistem saraf berbanding dengan dadah-dadah tradisional seperti opium dan heroin,” tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain