suria

Empat Lelaki Ditahan Kerana Disyaki Membakar Surau Di Muar

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki termasuk anak kepada seorang anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes membakar surau di Muar dua hari lepas.

Mereka diberkas secara berasingan di Muar awal pagi semalam, kurang daripada 48 jam selepas kejadian yang melibatkan dua buah surau, satu di Jalan Ismail Omar dan satu lagi di Jalan Salleh di Muar itu.

Keempat-empat suspek berumur antara 16 hingga 28 tahun. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata kesemua yang ditahan tinggal berhampiran kawasan kejadian dan ada yang bekerja sebagai pelayan restoran, telah diberhentikan sekolah dan juga pengganggur.

"Siasatan masih dijalankan. Tidak diketahui apa motif sebenarnya, mereka melakukan perbuatan itu tanpa berfikir panjang namun itu merupakan satu jenayah."

"Kita masih dalam proses mencari keterangan kukuh untuk mendakwa mereka ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail berkata polis turut menyiasat jika wujudnya unsur hasutan yang membawa kepada tindakan empat lelaki itu.

Beliau berkata polis sedang dalam proses mendapatkan reman terhadap suspek dan dengan tertangkapnya mereka, kes ini dijangka selesai tidak lama lagi.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Awal Khamis lepas dua buah surau di Muar, Johor mengalami kerosakan kecil selepas terbakar, yang dipercayai akibat perbuatan khianat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain